Memperkenalkan Ipod Sebagai Bahan Bantu Mengajar Dalam Pendidikan Khas.
'Introducing Ipod In Special Education'
1.0 Pengenalan
Rakaman video ini menyentuh berkenaan penggunaan ipod sebagai alat bantu mengajar di dalam bilik darjah pendidikan khas. Lokasi rakaman video dijalankan di Sekolah Pendidikan Khas , Daerah Saint Louis, Amerika Syarikat. Subjek kajian yang terdiri daripada murid-murid pendidikan khas telah mendapat kebenaran daripada ibu bapa dan penjaga mereka untuk terlibat dalam kajian dan ditayangkan kepada umum.
Inisiatif ini dilaksanakan oleh guru pendidikan khas, Nicki Nelson dan guru sumber atau penterjemah bahasa isyarat Ryan Ridenhour. Kedua-dua mereka ini bekerjasama di dalam bilik darjah mengajar dan menyampaikan maklumat kepada murid-murid bermasalah pendengaran dan juga beberapa murid-murid yang mengalami masalah cerebral palsy. Berdasarkan pengalaman seharian mengajar murid-murid istimewa ini, mereka dapati penggunaan teknologi melalui iPod dapat membantu pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif. Penyaluran maklumat lebih mudah dan berkesan bukan sahaja kepada murid-murid tetapi juga kepada ibu bapa serta penjaga.
Berdasarkan temubual yang dijalankan, ibu bapa serta penjaga telah memberikan komen dan reaksi positif terhadap penggunaan iPod ini di bilik darjah. Ibu bapa dan penjaga boleh belajar bersama anak-anak di rumah. Mereka boleh berulang kali memainkan rakaman sehingga memahami dan menguasai bahasa isyarat yang dipaparkan. Ini membolehkan ibu bapa mengukuhkan kefahaman anak-anak dan tidak hanya bergantung pada guru-guru di sekolah sahaja.
2.0 Apa itu iPod?
Definisi iPod adalah kombinasi 'portable digital media player' dan 'hard drive' dari komputer Apple. Ipod boleh disambung terus ke komputer melalui 'fire wire' atau USB untuk menyimpan sebarang maklumat samada dalam bentuk video atau lagu. Cirri-ciri paling popular yang ditampilkan oleh iPod termasuklah calendar, buku alamat, nota, jam penggera, permainan dan pembaca teks (text reader).
Sumber : http://searchmobilecomputing.techtarget.com/definition/iPod
Perkataan iPod tidak membawa sebarang makna yang spesifik. Namun begitu perkataan iPod itu dipecahkan kepada dua iaitu i' dan 'Pod'. Huruf 'i' adalah kebiasaan Apple menamakan produk-produknya seperti iMac, iPhoto, iTunes dan sebagainya. Ada pendapat menyatakan bahawa 'i' merujuk kepada internet, namun masih tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Manakala 'Pod' pula merujuk kepada 'portable open database' iaitu nama perisian yang mengoperasikan iPod.
Sumber : http://ipod.about.com/od/introductiontotheipod/f/ipod_stands_for.htm
IPod bukanlah sesuatu yang baru kepada umum kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 2001. Syarikat gergasi teknologi maklumat iaitu Apple telah membina dan mereka bentuk iPod dalam bentuk mudah alih, ringan serta sekecil mungkin sementara keupayaan dan kapasitinya semakin dipertingkatkan. Pihak Apple telah mengambil inisiatif menghasilkan satu reka bentuk yang dapat memenuhi keperluan masyarakat selain mesra pengguna. Usaha berterusan untuk mengeluarkan satu produk yang berdaya saing serta boleh digunakan dengan mudah oleh semua golongan.
Pada suatu ketika, iPod hanya digunakan sebagai alat untuk mendengar muzik sahaja. Namun begitu seiring dengan perkembangan teknologi, maka muncul pula iPod yang bukan sekadar untuk menyimpan dan mendengar lagu sahaja tetapi juga untuk merangkumi pelbagai disiplin ilmu dengan menghubungkaitkan antara lagu, seni, ilustrasi senibina, bahasa dan juga kesusateraan. Perkembangan ini memungkinkan iPod digunakan dalam bilik darjah untuk membantu individu yang mengalami masalah pendengaran melalui kemudahan animasi yang dipaparkan. Fenomena ini telah lama wujud di negara maju seperti Georgia College, US yang telah mengaplikasikan iPod sebagai alat pengajaran dan pembelajaran untuk berhubung dan berkomunikasi dengan murid-murid dengan bahasa yang mereka fahami.
3.0 Kegunaan iPod dalam Pendidikan Khas
Video telah mengutarakan kaedah yang digunakan bagi menyampai maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak pendidikan khas terutamanya masalah pendengaran kebiasaannya mengalami masalah penguasaan bahasa kerana apabila tidak boleh mendengar maka mereka tidak dapat bertutur dan ini membawa kepada penguasaan bahasa yang lemah. Para pendidik perlu mencari alternatif untuk memperkayakan pedagogi mereka ke arah pengajaran yang lebih efektif serta mampu menarik minat murid ini untuk belajar.
Kegunaan iPod dalam pendidikan meliputi pelbagai aspek antaranya untuk komunikasi, membaca, menulis, aplikasi matematik, muzik, nyanyian, seni, permainan dan aplikasi tambahan yang lain untuk kemudahan kanak-kanak pendidikan khas. Guru-guru yang ingin menggunakan iPod boleh mempelajari kegunaannya secara terperinci melalui tutorial yang disediakan. Kemudahan iPod juga memudahkan guru menyampaikan maklumat kepada ibu bapa. Guru hanya perlu merakamkan mesej secara audio dan visual, ibu bapa akan menontonnya dari rumah. Ibu bapa juga boleh belajar dan pada masa yang sama mengajar anak-anak di rumah sebagai ulang kaji untuk mengukuhkan kefahamana anak-anak. Ini sangat efektif terutamanya untuk mempelajari bahasa isyarat seperti yang dipaparkan dalam video ini, kerana belajar dari buku teks mungkin menyukarkan tetapi dengan audio visual, individu biasa juga boleh memahami dan mengikut tunjuk cara dengan mudah.
Walaupun agak sukar mengendalikan iPod, bagi guru-guru yang sentiasa dan biasa menggunakan ICT sebagai bahan bantu mengajar boleh memilih iPod sebagai pendekatan baru. Individu boleh meneroka bahan tutorial dan tips-tips dengan melihat pada butang menu utama. Maklumat yang dipaparkan berkaitan penggunaan iPod dalam bilik darjah seperti kemudahan untuk forum secara on-line dengan rakan sejawat, ibu bapa dan lain-lain pihak yang berkaitan.
Bagi murid-murid pendidikan khas, menduduki ujian atau peperiksaan adalah sesuatu yang menyukarkan dan kadang kala boleh menimbulkan stress. Sebelum wujud iPod, murid ini akan diasingkan dari kumpulannya dan terdapat seorang pembantu yang akan membaca soalan kepadanya dalam persekitaran bilik darjah normal. Dengan kehadiran iPod, mereka boleh kekal di dalam kumpulannya. Murid akan membaca soalan dari teks pada skrin iPod dan berupaya mendengar soalan dari alat pendengaran atau 'headphone'. Keadaan ini telah meningkatkan pencapaian murid kerana mereka boleh menjawab soalan pada keupayaan mereka, mengambil sebanyak mana masa yang diinginkan, mengulang soalan dengan hanya menekan butang dan menjawab soalan apabila merea bersedia.
3.1 Komunikasi Augmentatif Melalui iPod
Peranti atau alat komunikasi augmentatif memberi nafas baru kepada kanak-kanak yang bermasalah pertuturan. Melalui penggunaan iPod, kanak-kanak boleh memilih perkataan dan bunyi yang dipaparkan pada menu. Setiap imej boleh diubahsuai saiznya mengikut kehendak murid semasa berkomunikasi. Selain itu, peranti ini juga sesuai untuk kanak-kanak autism yang turut mengalami masalah berkomunikasi.
Kemudahan ini hanya memerlukan murid 'klik' pada butang yang dikehendaki dengan bantuan guru untuk menyampaikan mesej.
Item-Item Aplikasi Komunikasi
3.2 Aplikasi Bacaan
Item ini membolehkan murid mengenal huruf melalui imej dan bunyi. Murid boleh menggunakan mikrofon dan kamera untuk melihat dan mendengar dengan lebih jelas. Pembelajaran melalui kaedah ini sangat fleksibel di mana murid boleh mengulang seberapa kerap yang dimahukan sehingga mereka menguasai kemahiran berkenaan. Kaedah ini amat sesuai dengan murid pendidikan khas yang sememangnya mudah tertarik dengan bunyi dan gambar.
Selain itu, terdapat juga ikon kad imbasan interaktif beserta dengan audio nama huruf, nama binatang dan kaedah menyebut huruf secara fonik. Ini secara tidak langsung membantu pertuturan kanak-kanak selain mengenal huruf.
Item-Item Aplikasi Bacaan
3.3 Aplikasi Penulisan
Aplikasi penulisan memudahkan murid membentuk perkataan dan ayat dengan hanya menyusun perkataan. Antara ikon yang disediakan ialah ikon 'key' dengan tajuk 'first words at home' di mana murid boleh menambah perbendaharaan kata melalui 30 item yang disediakan. Apabila huruf ditekan ia akan mengeluarkan bunyi dan murid hanya perlu menyusun perkatan untuk membentuk ayat yang betul.
Item Aplikasi Penulisan
3.4 Aplikasi Matematik
Aplikasi matematik menyediakan bahan pembelajaran interaktif yang mampu merangsang minat dan meningkatkan tumpuan. Ikon yang disediakan mudah untuk dicapai malah murid boleh mempelajari matematik bermula dari asas iaitu peringkat mengenal nombor melalui ikon '123 animal counting' hinggalah ke peringkat lebih tinggi 'pop math' berdasarkan pencapaian dari masa ke masa.
Item Aplikasi Matematik
3.5 Aplikasi Muzik
Murid-murid pendidikan sememangnya menunjukkan kecenderungan yang tinggi terhadap muzik. Mereka didapati menunjukkan minat dan perhatian yang maksimum jika aktiviti pembelajaran digabungkan dengan kehadiran muzik. Aplikasi muzik dalam iPod turut menyediakan ruang pada murid-murid melahirkan kreativiti dalam bidang ini.
3.6 Aplikasi Lagu
Memaparkan lagu-lagu popular kanak-kanak, video, lirik dan gambar yang bersesuaian dengan imej untuk meningkatkan perbendaharaan kata. Selain itu terdapat juga ikon 'musical book' mengandungi 8 muka surat interaktif yang memainkan lagu dalam pelbagai bahasa dan instrument. Murid juga boleh merakamkan suara di dalam lagu tersebut. Ini turut memudahkan guru kerana tidak perlu menyediakan peralatan muzik yang pelbagai semasa mengajar. Malah murid juga boleh memutarkan lagu yang disukai berulang kali.
Item Aplikasi Lagu
3.7 Aplikasi Seni
Ikon ini memberi peluang kepada murid merakam gambar sendiri dengan menekan butang tertentu pada iPod dan menyuntingnya sendiri mengikut kreativiti. Terdapat juga aplikasi yang membantu murid mengenal warna asas dengan melakukan aktiviti mewarna pada lukisan interaktif di iPod. Kaedah pembelajaran ini sangat mudah dan menjimatkan masa dari kaedah konvensional yang memerlukan penyediaan alatan melukis serta kemahiran psikomotor yang tinggi.
Item Aplikasi Seni
3.8 Aplikasi Permainan
Bagi murid-murid yang tahap kebolehan intelektualnya tinggi serta memiliki kemahiran psikomotor yang baik boleh melayari ikon aplikasi permainan. Ia mampu mengurangkan stress dan kebimbangan dalam kalangan murid selain merangsang minda. Pelbagai bentuk permainan yang bersesuaian dengan tahap murid-murid pendidikan khas boleh didapati dari aplikasi ini.
4.0 Teori Pembelajaran
Pendekatan pengajaran berasaskan teknologi ini serasi dengan idea yang diutarakan oleh teori pembelajaran iaitu pendekatan konstruktivisme. Idea utama pendekatan konstruktivisme menekankan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman pembelajaran yang autentik dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi sosial. Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri secara aktif pengetahuan atau konsep berdasarkan kepada pengetahuan atau pengalaman yang sedia ada dan tidak menerima pengetahuan secara pasif dari persekitaran.
Penggunaan iPod dalam pendidikan khas amat bertepatan sekali dengan saranan penggunaan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran berbentuk penerokaan dalam situasi :
- Pembelajaran yang berbentuk inkuari penemuan.
- Pembelajaran yang menjurus kepada penyelesaian masalah kehidupan sebenar.
- Aktiviti yang berkaitan Kajian Masa Depan
- Aktiviti pembelajaran yang berbentuk simulasi. Memberi peluang kepada murid untuk menangani masalah sebenar di dalam kelas.
Selain itu, kelebihan pembelajaran secara konstruktivisme ini membuatkan murid lebih seronok, lebih berfikir, lebih faham dan membina kemahiran sosial yang baik. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam video ini juga menunjukkan dengan jelas ciri-ciri pembelajaran secara konstruktivisme antaranya :
- Pembelajaran berpusatkan murid apabila semua murid boleh menggunakan computer dan melakukan sendiri tugasan sambil dibantu guru.
- Berfokuskan pembelajaran bukan pengajaran yang mana amat bersesuaian dengan dunia pendidikan khas
- Menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi murid
- Memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi dunia yang sebenar.
5.0 Penutup
Kesimpulannya, penggunaan iPod sebagai bahan bantu mengajar telah berkembang pesat di negara-negara barat. Seiring dengan perkembangan teknologi dalam era globalisasi ini, seharusnya negara kita juga perlu melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sangat signifikan kepada dunia pendidikan khas. Di negara kita, iPod hanya dilihat sebagai alat hiburan semata-mata. Sedangkan penggunaan iPod itu sangat meluas dan merangkumi pelbagai aspek pendidikan.
Pendedahan yang ditonjolkan melalui video ini memberi perspektif baru kepada perkembangan disiplin kurikulum dan pedagogi negara kita. Ia bukan sahaja membantu pembelajaran murid malah pengajaran akan menjadi lebih efektif. Murid boleh berada di persekitaran mereka yang biasa sambil melayari aplikasi berkaitan dengan mata pelajaran yang ingin dipelajari. Kemudahan ini mampu mengatasi ketidakupayaan yang sering membataskan pergerakan mereka. Kemahiran psikomotor kasar dan halus yang begitu terhad boleh diatasi terutamanya semasa mata pelajaran pendidikan seni khususnya lukisan. Kaedah pembelajaran ini hanya memerlukan murid menekan butang sahaja untuk melihat hasilnya.
Keseluruhannya, video ini telah membuka mata dan minda saya sebagai seorang guru pendidikan khas untuk memikirkan sesuatu perubahan yang wajar dan boleh dilakukan dalam mendidik murid-murid kurang keupayaan ini. Penggunaan teknologi ini mampu melahirkan murid pendidikan khas yang berdaya saing dalam bidang teknologi. Walaupun perubahan ini mengambil masa namun tidak mustahil pada masa hadapan ianya akan menjadi kenyataan.
Bibliografi :
- Intoducing ipod in special education
http://www.youtube.com/watch?v=VTSM0m6aT9M
- http://searchmobilecomputing.techtarget.com/definition/iPod
- http://ipod.about.com/od/introductiontotheipod/f/ipod_stands_for.htm
- http://www.docstoc.com/docs/22503694/Teori-Konstruktivisme
No comments:
Post a Comment