KELEMAHAN PENGURUSAN BILIK DARJAH HARI INI
Oleh Dr Haji Kamarudin Haji Abu Hassan
Kualiti pengurusan bilik darjah merupakan kayu pengukur bagi menentukan berkesan atau tidaknya pembelajaran yang berlaku dalam sesebuah bilik darjah. Ini kerana kelemahan yang berlaku dalam bilik darjah itu juga merupakan petunjuk yang boleh dikaitkan dengan soal kualiti pengurusan. Pengurusan yang lemah dan tidak berkesan dalam organisasi pembelajaran dalam bilik darjah, menyebabkan perkembangan aspek kualiti yang tinggi dan unggul tidak dapat dipertahankan.
Kualiti pengurusan yang lemah menyebabkan simpton sosial dan moral dalam bilik darjah terus meningkat. Kelemahan ini meliputi beberapa keadaan seperti berikut:
• Keadaan Tidak Terkawal
Pengurusan bilik darjah yang lemah ialah punca timbulnya keadaan yang tidak terkawal. Keadaan ini diburukkan lagi dengan mekanisme pengurusan yang tidak berkesan. Disiplin pelajar pada keseluruhannya amat lemah. Perkara ini berpunca daripada kegagalan kegagalan guru mendisiplinkan mereka.
• Bising Dan Mengganggu
Suasana bising dan mengganggu berlaku disebabkan kelemahan kualiti pengurusan bilik darjah. Ketidakcekapan guru mencorakkan tingkahlaku pelajar (yang terkawal dan berdisiplin ) menyebabkan suasana di dalam bilik darjah menjadi bising dan mengganggu.
Perlakuan destruktif yang pelbagai boleh berlaku jika suasana bising dan mengganggu tidak dapat ditangani oleh guru secara berkesan.
• Kotor Dan Tidak Kemas
Kotor dan tidak kemas mencerminkan kelemahan kualiti pengurusan di dalam bilik darjah. Keadaan ini berlaku kerana kurangnya sikap tanggungjawab dan kelemahan amalan nilai-nilai murni yang sepatutnya disemai kepada murid.
Faktor ini turut menimbulkan ketidakselesaan, kejahilan dan ketidakpekaan terhadap nilai kebersihan.
• Tekanan Emosi Bilik Darjah
Kualiti bilik darjah yang tertekan boleh memberi kesan yang negatif ke atas perkembangan emosi seperti masalah rasa takut, bimbang , tiada keyakinan, dan keinginan untuk ponteng kelas yang tinggi di kalangan murid.
Tekanan emosi juga boleh berlaku disebabkan perasaan dan rasa kurang selamat, aspek moral yang rendah, hubungan antara guru dan murid yang tidak baik, beban kerja yang berlebihan, jangkaan yang melampau terhadap murid serta kurangnya sokongan di dalam bilik darjah.
• Pembelajaran Tidak Terarah
Kualiti pengurusan bilik darjah yang baik dipandu oleh corak pembelajaran yang terarah. Bilik darjah sebagai ‘learning organization’, perlu menghalakan aktiviti, minat, sikap dan komitmen yang tinggi di kalangan guru dan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
Pembelajaran yang terarah dapat menentukan objektif yang jelas, pengurusan masa, bimbingan dan penyeliaan yang baik oleh guru, disamping rasa tanggungjawab yang tinggi di kalangan murid dalam melaksanakan tugas mereka.
• Ketandusan Wawasan Dan Misi Organisasi Bilik Darjah
Budaya belajar di dalam bilik darjah yang berkesan dapat dibina oleh wawasan dan misi organisasi pembelajarannya. Ini akan dapat meningkatkan kesedaran, rasa tanggungjawab, komitmen dan keinginan untuk mencapai kejayaan melalui pembentukan sikap yang mementingkan pelajaran – seterusnya mendorong murid untuk merealisasikan matlamat, cita-cita, hasrat dan impian murni.
• Moral Yang Rendah
Moral yang rendah terjadi akibat pengurusan yang tidak cekap dalam menangani pelbagai masalah yang berlaku di dalam bilik darjah. Ini disebabkan oleh kurangnya inisiatif murid untuk memajukan diri mereka, disamping kurangnya daya usaha untuk maju dalam pelajaran. Kurang minat terhadap pelajaran juga berlaku di dalam bilik darjah yang kurang rangsangan dan ketandusan semangat untuk berubah.
• Sikap Negatif
Sikap guru yang negatif dalam mengurus pengajaran – tidak bersedia dan mengenali murid secara peribadi. Guru lebih banyak menyampai maklumat tetapi kurang membimbing. Hubungan guru murid yang renggang akibat kontek masa yang singkat. Murid kurang mengenali guru mengakibatkan penerimaan dan keyakinan tidak terbina.
• Kepimpinan Yang Lemah
Kepimpinan guru yang lemah merupakan antara faktor penting merosotnya kualiti pengurusan, pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kepimpinan yang lemah berlaku kerana kurangnya komitmen dan inisiatif yang dilakukan oleh guru untuk membaiki segala kelemahan yang berlaku di dalam bilik darjah.
• Kelemahan Kualiti Penyeliaan Dan Pengawalan
Mutu bilik darjah dapat ditentukan jila mekanisme dalam penyeliaan dan pengawalan bilik darjah dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh guru. Ini membolehkan segala kelemahan yang berlaku dapat dikesan dan diatasi.
No comments:
Post a Comment